Rakyat Mesti
Sanggup Ubah Budaya Tak Elok, Kata Dr Mahathir |
REMBAU, 3 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata
rakyat negara ini mesti sanggup mengubah budaya yang tidak elok
dan menerima budaya lebih baik yang dapat memberi kemajuan.
Rakyat Malaysia harus belajar dari budaya bangsa lain dan mengambil iktibar daripada budaya mereka, kerana ada bangsa pada mulanya maju kemudian menjadi mundur, dan yang mundur menjadi maju, kata Perdana Menteri. "Kita mesti sanggup mengubah sedikit sebanyak budaya kita yang tidak baik dan menerima budaya yang lebih baik, yang lebih mampu memberi kemajuan kepada kita," katanya ketika berucap pada majlis jamuan Aidilfitri anjuran Biro Tata Negara di Kem Bina Negara, Ulu Sepri, di sini. Sebelum itu Perdana Menteri menyampaikan ceramah selama dua jam setengah kepada peserta dan alumni kursus Bina Negara Perdana Bil. 1/2002 terdiri 86 orang pegawai tinggi kerajaan, badan berkanun, tokoh korporat dan individu. Kursus selama empat hari itu berakhir Sabtu ini. Perdana Menteri berkata jika rakyat Malaysia sanggup dan boleh mengubah budaya kepada yang lebih baik, beliau yakin mereka akan menjadi bangsa yang maju. Dr Mahathir turut mengajak rakyat Malaysia meneliti sejarah mengenai kemajuan dan kemunduran sesuatu bangsa seperti bangsa Mongol dan Rusia serta empayar Islam. "Saya baca mengenai orang Mongol, mereka adalah satu bangsa yang nomadik, berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain mengikut hasil ternakan mereka dan berpecah kepada berpuluh bangsa dan suku kaum. "Tetapi apabila datang seorang pemimpin bernama Genghis Khan, dia berjaya secara paksa, menggunakan tenteranya untuk menyatu padu bangsa dan suku kaum Mongol supaya mereka menjadi satu bangsa," katanya. Perdana Menteri berkata walaupun bangsa Mongol itu kolot pada mulanya, tetapi Genghis Khan berjaya membawa perpaduan yang menjadi kekuatan kepada bangsa itu. "Daripada itu, dia (Genghis Khan) berjaya memberangsangkan semangat mereka sehingga mereka sanggup bermatian untuk menguasai dunia," katanya. Dr Mahathir berkata kegemilangan empayar Mongol diteruskan oleh anak Genghiz Khas tetapi pada zaman cucunya mereka berpecah dan akhirnya empayar Mongol runtuh. "Demikian juga dengan Rusia, apabila di bawah pimpinan Peter The Great, ia membawa negara yang mundur, kerana orang Rusia adalah bangsa yang mundur, dia tukar budaya orang Rusia secara paksa dengan menggunakan kekerasan dan sesiapa yang menentang akan dibunuh olehnya. "Akhirnya dia berjaya menukar bangsa Rusia menjadi bangsa Barat, bukannya bangsa Timur, dan Rusia dari zaman itu menjadi kuasa dunia yang besar yang dapat mengalahkan wilayah-wilayah Mongol dan wilayah yang dimiliki orang Turki seperti Uzbek dan Kazak dan lain-lain," katanya. Dr Mahathir berkata para pemimpin itu berjaya menyemai nilai hidup yang berlainan dari nilai hidup yang membawa kemunduran kepada mereka. Sebaliknya bangsa yang maju kemudiannya menjadi mundur akibat perpecahan dan pegangan budaya kolot mereka, katanya. "Umpamanya orang Islam berjaya mendirikan empayar selama 1,300 tahun iaitu dua empayar, satu berpusat di Timur Tengah iaitu di Damsyik dan Baghdad dan satu lagi di Istambul. "Tetapi oleh kerana perpecahan yang berlaku di kalangan mereka dan pegangan mereka kepada budaya yang sudah kolot umpamanya tentera mereka tidak dibenar memakai seluar ketat macam kita pakai sekarang (kerana) itu dianggap haram, tidak boleh pakai topi 'peak cap' kerana tidak boleh sembahyang dan mereka tidak mahu terima senjata-senjata baru, akhirnya mereka dikalahkan dan empayar Islam pun runtuh," katanya. Sambil meminta rakyat Malaysia belajar daripada sejarah bangsa itu dan membetulkan keadaan diri sendiri, Dr Mahathir mengakui beliau masih tidak begitu berpuas hati dengan pencapaian rakyat Malaysia setakat ini. |